Advertisement - Contact Us

Miskin tegar: Alasan sukar buka akaun tak masuk akal. - Utusan Online


"PULAU PINANG 24 Feb. - Alasan sukar membuka akaun amanah sebagai punca kegagalan kerajaan negeri menghapuskan kemiskinan tegar, dianggap tidak masuk akal dan cukup mengecewakan.

Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ketika menjadi timbalan menteri di kementerian itu, pihaknya mempunyai angka sebenar keluarga miskin tegar di negeri ini yang sememangnya boleh dibantu dan 'disifarkan'.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan mengenai segala perancangan, peruntukan dan cara ia bertindak mengatasi masalah miskin tegar di negeri ini.

"Sebelum kerajaan baru mengambil alih, ketika itu cuma ada 190 keluarga miskin tegar dengan hanya 19 keluarga betul-betul miskin secara produktif.

"Selebihnya, 59 keluarga miskin tegar tidak produktif manakala 112 keluarga lagi terdiri daripada keluarga orang kurang upaya (OKU). Semua angka ini sedikit saja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat JKP Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng kelmarin berkata, hasrat kerajaan Pulau Pinang untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang diumumkan setahun lalu gagal dilaksanakan berikutan kesukaran membuka akaun amanah.

Guan Eng yang tidak menjelaskan apakah masalahnya, bagaimanapun berharap akaun amanah itu dapat dibuka pada bulan depan dan hasrat menghapuskan miskin tegar dilaksanakan hujung tahun ini.

Selepas kerajaan pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan di Pulau Pinang Mac tahun lalu, usaha pertama yang dilaung-laungkan ialah menghapuskan miskin tegar dalam tempoh setahun.

Zainal menambah, angka terkini yang diterima pada hujung 2008 menunjukkan peningkatan tiga keluarga menjadikan jumlah keseluruhan keluarga miskin tegar secara produktif, 22 keluarga.

"Macam mana kerajaan campuran yang diketuai oleh Guan Eng hendak uruskan negeri kalau 22 keluarga miskin tegar pun tidak mampu diuruskan. Awal-awal lagi sudah menyerah kalah.

"Di sini rakyat boleh melihat sendiri kemampuan sebenar kerajaan negeri. Nampak sangat mereka tidak boleh beri fokus yang mendalam terhadap apa yang mereka laung-laungkan dahulu," jelasnya.

Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal itu juga berkata, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) masih memerintah sehingga hari ini, Pulau Pinang pasti sudah diisytiharkan negeri pertama bebas miskin tegar.

Dalam pada itu, Zainal memaklumkan, Kerajaan Pusat mempunyai pelbagai program untuk mengatasi masalah miskin tegar di negeri tersebut.

Menurutnya, kerajaan BN sudah mengatur dan merancang program-program di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) seperti program penempatan, latihan serta kecemerlangan pendidikan.

"Di samping itu, kita bercadang menyalurkan pelbagai projek kepada golongan miskin tegar ini dengan peruntukan kira-kira RM1.1 juta.

"Kerajaan Pusat sentiasa bersedia membantu mengatasi masalah ini lebih-lebih lagi pihak BN mempunyai bajet yang mencukupi," katanya."
- Utusan Online

Bagaimana sebuah kerajaan negeri memberi alasan yang tidak munasabah berkenaan isu kegagalan membasmi miskin tegar di Pulau Pinang disebabkan kesukaran membuka akaun. Alasan yang diberi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng langsung tidak masuk akal dan ia hanyalah untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri. Jika benar kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk mengotakan janji mereka untuk memastikan sifar miskin tegar dalam tempoh 1 tahun pentadbiran maka pasti mereka akan berusaha mencari pelbagai cara bagi melaksanakannya.

Kerajaan negeri yang baru sebenarnya lebih banyak mencetuskan polemik politik dan mencari kesalahan pihak lain dari berusaha untuk membangunkan ekonomi dan pembangunan negeri. Isu-isu yang dibangkitkan langsung tidak mendatangkan faedah dan kebaikan kepada negeri dan rakyat. Adakah ini ciri-ciri kerajaan yang didambakan rakyat selama ini? Jika inilah calon kerajaannya maka tidak mustahil negeri Pulau Pinang akan terkebelakang dan ketinggalan dalam semua soal. Jika diamati, kebanyakan pembangunan yang sedang berjalan di negeri Pulau Pinang kini datangnya dari kerajaan pusat. Sebagai contoh, Pembangunan Negeri di bawah kerajaan pusat telah mengeluarkan hampir 300 kerja baik pulih asas dan infrastruktur hanya di daerah Seberang Perai Utara. Inilah yang dinantikan oleh kerajaan negeri. Jangan pula 'Lembu punya susu, sapi dapat nama'.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama