Advertisement - Contact Us

Kerajaan Selangor siasatan rekod perakaunan PNSB. - MalaysiaKini


"Feb 24, 09 7:00am
Menteri Besar Selangor, selaku pengerusi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod perakaunan syarikat Permodalan Negeri Selangor (PNSB), demikian menurut satu kenyataan semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor itu berkata, antara rekod-rekod yang disyaki terlibat termasuk penyerahan dokumen kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan urusniaga pembelian serta penjualan hartanah di Mekah di antara tahun 2006-2007.

Berikutan itu, menurut kenyataan tersebut, ahli lembaga pengarah PNSB semalam telah mengarahkan Ketua Eksekutif PNSB, Datin Hajah Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Puan Nora Azmin Radzuan, diberi cuti bergaji selama 30 hari supaya kajian selidik dan kemaskini rekod perakaunan dapat dilakukan.

"Keputusan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam soal memantau selia, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri dan semua agensi, badan berkanun, pihak-pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan dengan atau di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor selas dengan dasar 'merakyatkan ekonomi Selangor," kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sangat mementingkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan pentadbiran kerajaan dan pengendalian anak-anak syarikat kerajaan negeri."
- MalaysiaKini

Inilah salah satu masalah yang menyelubungi Pakatan Rakyat. Mereka berlagak dan bertindak seperti pembangkang walhal merekalah yang menjadi kerajaan di beberapa negeri. Ini mungkin disebabkan mereka sudah terbiasa dengan status pembangkang yang sering mencari jalan untuk membangkang dan mencari setiap inci kesalahan dan kesilapan.

Sikap seperti ini sebenarnya menjadi punca kenapa berlakunya kerencatan dalam pembangunan dan ekonomi di negeri-negeri yang mereka tadbir. Tindakan mencari kesalahan dan kesilapan pentadbiran kerajaan yang lepas merupakan satu tindakan yang membuang masa dan tidak mendatangkan manfaat kepada negeri. Seharusnya peluang yang dimiliki sewaktu menjadi kerajaan digunakan sebaik mungkin dengan merangka kerja dan mencari jalan bagaimana hendak memajukan dan membangunkan kerajaan yang ditadbir. Ini akan lebih memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat dan rakyat.

Sikap suka mencari silap orang lain adalah satu sikap yang merugikan samada kepada kerajaan sendiri, negeri dan rakyat. Ini kerana walau sebesar mana kesalahan yang ditemui ia hanya memberi impak dan kesan kepada pihak yang melakukannya walhal rakyat tetap berada di takuk yang sama. Tindakan terbaik adalah menilai kesalahan tersebut dan berusaha memperbaikinya agar kesilapan itu tidak berulang.

Kerajaan-kerajaan negeri yang baru sepatutnya mulai sedar akan kedudukan mereka dan harus mencari inisiatif dan mencari jalan bagaimana untuk menjadi kerajaan yang boleh dicontohi dan terbaik berbanding kerajaan terdahulu. Jangan sampai rakyat berasa muak dan menyesal dengan pemilihan kerajaan baru ini kerana akibatnya amatlah buruk. Kuasa tetap berada di tangan rakyat untuk memilih dan menilai mana yang terbaik.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama