Advertisement - Contact Us

Kerajaan Negeri Pulau Pinang punca kegagalan ekonomi. - Bernama

"PULAU PINANG 22 Feb. - Kerajaan negeri Pulau Pinang gagal membangunkan ekonomi negeri itu walaupun hampir setahun menerajuinya kerana masih berfikiran seperti pembangkang.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata, budaya sering menyalah dan menolak masalah kepada pihak lain masih terus diamalkan dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga menyebabkan isu lebih penting terbiar begitu sahaja.

Katanya, sebagai kerajaan negeri, mereka perlu merancang setiap projek pembangunan untuk negeri itu dan bukannya bersikap lepas tangan serta sewenang-wenangnya menolak masalah kepada Kerajaan Pusat.

"Dari segi pembangunan ekonomi, prestasi mereka amat mengecewakan. Sebagai sebuah kerajaan negeri mereka sepatutnya merancang agenda-agenda yang perlu untuk merancakkan ekonomi negeri.

"Namun apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Saya lihat Ketua Menteri, Lim Guan Eng asyik meminta bantuan Kerajaan Pusat dan memberi pelbagai alasan antaranya tidak cukup duit, tidak ada duit, sedangkan ini tanggungjawabnya," kata Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan .

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen MCA Pulau Pinang oleh Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menurut Tiong Lai, selagi pemikiran dan sikap itu terus diamalkan oleh Ketua Menteri, ia akan menyebabkan ekonomi Pulau Pinang tidak mampu berkembang.

"Saya tidak faham mengapa beliau masih terbawa-bawa dengan sikap itu dalam pentadbirannya sehinggakan ia menyebabkan ekonomi di negeri ini terjejas,'' katanya.

Menurut Tiong Lai, sepanjang tempoh 11 bulan menerajui Pulau Pinang, kerajaan negeri dilihat gagal membangunkan ekonomi ke tahap yang sepatutnya dan lebih kerap menolak semua masalah ekonominya kepada Kerajaan Pusat untuk bantuan.

Katanya, Kerajaan Pusat juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan bukan hanya memikirkan masalah negeri itu semata-mata.

"Pada masa sama, mereka kerap menghentam Kerajaan Pusat pada setiap sidang akhbarnya tetapi minta peruntukan daripada Pusat,'' ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri itu sepatutnya berusaha dan bukan hanya meminta-minta atau asyik mencari kesalahan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri."
- Bernama

Memang tidak boleh dinafikan lagi bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP telah gagal melunaskan banyak janji-janji sebelum pilihanraya tempoh hari apatah lagi hendak melaksanakan pembangunan untuk kebaikan negeri Pulau Pinang. Kerajaan negeri sekarang dilihat lebih banyak bermain politik dan hanya mampu berbangga dengan sekelumit sumbangan yang hakikatnya tak memberi kesan langsung baik dari segi ekonomi negeri mahupun soal kebajikan rakyat yang dilaung-laungkan selama ini. Apalah sangat dengan penghapusan saman sesudah memenangi PRU jika kini lebih banyak saman dan kesalahan mula dikorek oleh penguatkuasa PBT negeri.

Hebatkah sumbangan RM50 dan sekampit beras kepada rakyat miskin dan adakah sumbangan ini mampu menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang? Ketua Menteri baru, Lim Guan Eng hakikatnya telah mengaku bahawa kerajaan pimpinannya telah gagal membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh satu tahun seperti yang dijanji. Dan seperti biasa, pelbagai alasan diberikan demi untuk menutup kelemahan.

Kerajaan negeri yang baru sebenarnya lebih banyak bermain politik dan masih berlagak seperti pembangkang walhal mereka merupakan kerajaan negeri Pulau Pinang. Banyak pembangunan telah gagal dan cuba diputarbelitkan isunya bertujuan untuk menarik perhatian kerajaan pusat agar rancangan pembangunan itu diambil alih oleh kerajaan pusat. Apa yang sibuk dikejar mereka hanyalah untuk merampas dewan, taska dan untuk mengambil alih pengurusan tapak pasar malam seluruh negeri Pulau Pinang.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama