Advertisement - Contact Us

Kenyataan Sultan Perak Berhubung Peralihan Kuasa Di Perak. - MalaysiaKini

Feb 5, 09 5:15pm
"KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan."
- MalaysiaKini

Dengan ini secara sah dan rasminya, Sultan Perak telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan BN berjaya memperolehi kepercayaan majoriti dari ADUN Negeri Perak. Dan sekaligus bakal menubuhkan kerajaan baru di Negeri Perak. Dan dengan ini secara automatik kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan MB dari PAS tersingkir dan disingkirkan secara demokrasi yang selama ini diperjuangkan mereka. Kini, agenda seterusnya yang dinantikan adalah perlantikan MB baru dari kerajaan BN.

Pakatan Rakyat boleh ditafsirkan sebagai umpama meludah ke langit, akhirnya jatuhkan ke muka sendiri. Ini kerana, sejurus selepas PRU-12 yang lepas, merekalah yang beria-ia hendak memancing wakil rakyat parlimen BN untuk melompat ke PR bertujuan untuk menumbangkan kerajaan persekutuan bagi menubuhkan kerajaan persekutuan PR yang baru. Namun kini, setelah hampir setahun berlalu, lain pula jadinya apabila BN yang berjaya memancing wakil rakyat mereka agar menyertai BN sekaligus merampas negeri Perak dari tangan PR.

Apa yang menjadi harapan adalah agar PR terutama penyokong-penyokongnya yang hiper fanatik agar belajar menerima kenyataan bahawa Perak bukan lagi milik PR. Dan seharusnya mereka tidak menyalahkan Sultan Perak sehingga ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada Sultan yang dijunjung. PR harus menyalahkan diri sendiri di atas kelemahan pentadbiran dan kegagalan untuk menmaksimumkan kesepakatan di kalangan ahli komponen PR hingga mengakibatkan terpaksa berputih mata melepaskan negeri Perak.

Kepada BN pula, kini bukanlah masanya untuk meraikan kejayaan merampas kembali negeri Perak dari PR, tetapi apa yang harus dilakukan adalah memperbaiki kelemahan dan kesilapan lalu sehingga menyebabkan rakyat Perak hampir hilang kepercayaan terhadap kredibiliti BN. Bak kata pepatah 'Buang yang keruh, Ambil yang jernih'. Kerajaan BN perlu memulakan langkah baru yang bersih dan menjauhi sebarang persepsi negatif dalam pembentukan kerajaan Barisan Nasional baru di Perak. Yang penting BN perlu berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat Perak jika tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama