Advertisement - Contact Us

Ibrahim Ali Pertimbang Tawaran Masuk Umno. - Bernama

"KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan mempertimbang pelawaan untuk menyertai Umno semula setelah mengambil kira pandangan dari pengundi di kawasannya.

Ibrahim yang merupakan anggota Parlimen Bebas berkata tawaran itu akan dipertimbangkan dan diperincikan dengan mengambil kira pelbagai faktor kerana beliau tidak mahu "pisang berbuah dua kali".

"Saya amat menghargai pelawaan daripada Umno namun pada masa ini, saya sedang memikirkan banyak perkara termasuk mendapatkan maklum balas daripada penyokong-penyokong. Saya mempunyai jentera sendiri. Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mereka saya akan ikut.

"Kalau nak terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, silalah buang saya secepat mungkin tetapi jangan buang saya hanya kerana kelantangan saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya beliau mahu kembali kepada parti itu.

Ibrahim sebelum ini pernah dibuang oleh Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum 2004 walaupun ketika itu menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Beliau juga pernah keluar dari Umno pada 1988 dengan mengisytihar diri sebagai anggota Parlimen Bebas bagaimanapun memohon semula menyertai parti itu pada 1991.

Ibrahim berkata beliau boleh kembali kepada parti itu dengan syarat Umno bersedia menerima beliau seadanya serta kelantangannya dalam menyuarakan pandangan.

"Kalau ini boleh diterima, saya akan fikir masak-masak. Saya dulu pernah digugur sebagai ketua penaja tanpa sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mereka kena ingat yang saya ini memang seorang yang semula jadi lantang sejak menjadi pemimpin pelajar lagi dan hal ini nampaknya menjadi masalah kepada banyak pihak," katanya.

Beliau berkata kelantangannya menyuarakan pandangan telah menjadi masalah kepada pelbagai pihak dan yang terbaru ialah PAS Kelantan yang memintanya meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen.

"Mereka (PAS) mahu bekerjasama dengan saya dan menggunakan saya kerana mereka takut kalah dalam pilihan raya 2008 dan mereka juga kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pada masa itu, mereka terima saya walaupun mereka tahu saya lantang.

"Tapi sekarang apabila saya lantang, mereka marah pula. Saya tidak mahu perkara itu berulang lagi jika saya masuk ke dalam Umno. Kasihanlah dekat saya," katanya."
- Bernama

Kelantangan dalam bersuara seharusnya perlu mengambil kira beberapa faktor samada kelantangan bertempat dan mengikut keadaan yang sesuai. Tidak ada salahnya seseorang menyuarakan pendapat dan pandangan yang difikirkan sesuai asalkan ia kena pada tempatnya. Dalam memastikan sesuatu organisasi itu menjadi sebuah organisasi terbaik maka setiap pendapat walaupun dilihat bertentangan dengan pandangan majoriti wajar diselidiki dan dikaji kebernasannya. Tidak saharusnya pendapat yang bertentangan ditolak mentah-mentah kerana adakalanya pendapat yang bertentangan itu mampu memperbetulkan apa yang tertinggal dalam sesuatu isu berkaitan.

Jika dalam sesuatu organisasi itu, semua pendapat yang dilontarkan hanyalah cenderung ke arah menyokong maka tidak akan berlaku perubahan positif dalam organisasi tersebut. Walau bagaimanapun tidak semua perbezaan pendapat itu perlu diexposekan. Ini kerana sebahagian perbezaan pendapat itu hanya boleh disampaikan secara tertutup. Ia mungkin melibatkan prinsip dan maruah pihak yang lagi satu.

Apa pun, tawaran untuk menerima semula Datuk Ibrahim Ali ke dalam UMNO perlu dikaji dan difikirkan semasak-masaknya. Umum sudah mengetahui akan kelantangan beliau dalam menyuarakan pendapat terutama di dalam Parlimen. Datuk Ibrahim Ali perlu menjadi seorang pemimpin yang berprinsip dan lebih bermaruah. Tindakannya yang gemar lompat parti perlu dielakkan kerana sikapnya itu memberi kesan negatif kepada parti.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama