Advertisement - Contact Us

BN Bakal Bertakhta Di Perak...

Aksi Datuk Nasaruddin, ADUN Bota yang secara tiba-tiba melompat parti dari BN ke PR sebenarnya adalah merupakan satu permulaan episod sambung-menyambung adegan lompat-melompat parti. Tatkala semua rakyat Malaysia terutama di Perak sedang menantikan kemungkinan ada lagi wakil rakyat dari BN yang berkenan untuk terjun ke PR, tiba-tiba arus perdana dibom dengan desas-desus yang lebih di luar jangkaan berkaitan tindakan 2 wakil rakyat PKR yang 'hilang' dan berkemungkinan akan menyertai BN.

Apakah yang sebenarnya berlaku di Perak? Pelbagai andaian dan telahan mulai dilakar apabila melihat keratakan yang berlaku di dalam pentadbiran negeri Perak. Semua pihak mula memainkan peranan dan pelbagai kesempatan cuba digapai bertujuan untuk memenuhi objektif politik masing-masing.



Tindakan Datuk Nasaruddin yang mengambil keputusan untuk menyertai PR pada mulanya dilihat bakal mengukuhkan lagi kedudukan PKR dan PR di Perak. Ura-ura yang mengatakan Datuk Raja Zainuddin dan Datuk Ahmad Fakeh juga bakal mengikut jejak bagi menyertai PR umpama episod sambungan dari tindakan Datuk Nasaruddin.

PR mula berasa yakin dan ceria dengan tindakan dan andaian yang berlaku ketika itu. Bagi mereka tindakan ini menunjukkan bahawa rakyat mula menolak BN dan menerima PR. Walhal tindakan Datuk Nasaruddin yang melompat parti tanpa meletakkan jawatan sebagai ADUN Bota boleh diklasifikasikan sebagai membelot suara rakyat. Harus diingat bahawa kemenangan Datuk Nasaruddin dalam PRU yang lepas adalah di bawah tiket BN dan sudah pasti kemenangannya adalah disebabkan penduduk Bota memangkah BN.

Namun keceriaan itu hanyalah seketika. 'Di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Desas-desus yang bertiup kencang kini menceritakan bahawa kedudukan PR selaku kerajaan negeri Perak kini sedang dilambung ombak. Misteri kehilangan dua ADUN PKR iaitu Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu yang juga Exco kerajaan Nageri benar-benar mengusarkan kepimpinan PR sekarang.

Ditambah lagi dengan ura-ura yang mengatakan bahawa kedua-dua ADUN PKR ini bakal melompat ke kapal BN benar-benar memenatkan dan menguji ketenangan bahtera PR. PR mungkin boleh menarik nafas lega kerana aku janji yang telah ditandatangani oleh semua ADUN PR Perak sewaktu dinobatkan sebagai kerajaan negeri Perak sebelum ini di terima pakai. Salah satu kandungan aku janji tersebut adalah menyatakan bahawa mana-mana ADUN PR yang ingin melompat parti perlu meletak jawatan sebagai ADUN.

Maka jika ini benar aku janji ini diterima pakai maka negara akan menyaksikan 2 lagi PRK di dalam negeri Perak. Jika diadakan semula PRK di Perak maka masing-masing yakni BN dan PR akan mempunyai peluang yang sama rata. Dan sudah pasti BN akan berkerja keras menggerakkan seluruh jentera untuk merampas kembali kedua-dua ADUN ini.

Bagi BN inilah peluang yang tidak harus dilepaskan bagi mereka untuk sekurang-kurangnya merapatkan perbezaan majoriti ADUN yang berkuasa di Perak. Jika BN berjaya merampas kembali kedua-dua ADUN ini maka BN hanya memerlukan satu lagi kerusi ADUN untuk kembali bertahkta di Negeri Perak.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama