Advertisement - Contact Us

Arumugam Letak Jawatan EXCO, Kekal ADUN. - MalaysiaKini

"Feb 9, 09 4:08pm

V Arumugam meletak jawatan sebagai exco kerajaan negeri tetapi masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Arumugam Vengatarakoo pkr kedahSementara itu, sumber-sumber pejabat menteri besar berkata, Azizan akan menghadap Sultan Kedah jam 5 petang ini, untuk memaklumkan peletakan jawatan Arumugam sebagai exco, berkuatkuasa semalam (8 Februari).

Keputusan Arumugam hari ini ekoran spekulasi sejak kebelakangan ini bahawa beliau akan menamatkan karier politiknya.

Baru-baru ini, beliau mendakwa berdepan dengan ugutan supaya meninggalkan Pakatan Rakyat untuk menyertai BN.

Sumber-sumber PKR memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Kedah, V Arumugam telah mengemukakan surat peletakan jawatan, dan memberi laluan untuk pilihanraya kecil diadakan bagi kerusi Bukit selambau.

Difahamkan Arumugam tunduk ekoran dakwaan tekanan hebat terhadapnya dan keluarganya supaya melompat menyertai Barisan Nasional (BN).

Arumugam, 54, tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu, tetapi sumber-sumber tertinggi PKR berkata, parti itu akan membuat kenyataan mengenainya hari ini.

Difahamkan juga Arumugam telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam dan kini berada di luar negeri.

Peletakan jawatan Arumugam, jika disahkan hari ini, akan mengesahkan spekulasi sepanjang bulan ini bahawa beliau mahu atau dipaksa menyertai BN.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya.

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

"Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Minggu lalu, desas-desus timbul semula mengenai Arumugam akan meninggalkan PKR, apabila beliau tidak dapat dihubungi. Rakan-rakannya dalam PKR berkata Arumugam sedang bercuti.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sbagai ahli exco kerajaan negeri."
- MalaysiaKini

Siapa sebenarnya yang sudah tidak relevan? Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat? Bermula dengan apa yang berlaku di negeri Perak yang memperlihatkan kecondongan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang melompat masuk ke Barisan Nasional sehingga akhirnya kerajaan BN berjaya memperolehi majoriti sokongan dan akhirnya berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru setelah mendapat perkenan dari Sultan Perak. Walaupun wakil rakyat tersebut tidak menyertai mana-mana parti dalam komponen BN namun sokongan yang diberikan kepada BN jelas membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Perak mempunyai banyak kelemahan dan kepincangan dalam usaha untuk membela nasib rakyat Perak. Janji-janji yang ditaburkan sebelum ini kebanyakannya telah gagal dilaksanakan dengan baik sehingga membuatkan ramai yang seolah-olah hilang kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Kini apa yang berlaku di Perak seperti bakal berulang di Kedah. Walaupun kebanyakan ADUN yang membentuk kerajaan di Kedah datangnya dari PAS namun berdasarkan situasi politik semasa, tidak mustahil akan berlaku lagi peralihan kerajaan sekiranya MB Kedah dari PAS gagal mengawal keadaan dengan baik dan memastikan ADUN Pakatan Rakyat Kedah terus setia dan memberi sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan PAS.

Apapun tindakan wakil Rakyat Bukit Selambau yang meletak jawatan sebagai EXCO Negeri dilihat sebagai titik permulaan terhadap keadaan politik yang bakal berlaku di Kedah. Tindakannya yang meletak jawatan EXCO menunjukkan bahawa sesuatu yang tidak kena berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sehingga beliau tidak dapat membentuk kerjasama yang baik dengan EXCO yang lain. Tidak mustahil beliau akan kembali menjadi ADUN Bebas dan beralih sokongan kepada Barisan Nasional.

Walaupun jika ini benar berlaku dan ianya tidak membawa sebarang perubahan sokongan majoriti, pastinya Najib dan BN Kedah tidak akan duduk diam dan akan berusaha melakukan sesuatu untuk menarik sokongan wakil rakyat PR yang lain agar beralih sokongan kepada BN. Ketika itu jika usaha BN berhasil maka negara bakal menyaksikan satu lagi peralihan kuasa berdasarkan sokongan majoriti mudah akan berlaku di Negeri Jelapang Padi.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama