Advertisement - Contact Us

7 April Pilihanraya di Bkt Gantang, Bkt Selambau - MalaysiaKini

"Feb 13, 09 11:53am

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.

Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung.

Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".

Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena mengenai dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.

Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1."
- MalaysiaKini

SPR secara rasminya telah mengumumkan tarikh PRK Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau yang diadakan secara serentak yakni pada 7 April 2009. Sememangnya kedua-dua PRK ini adalah saat yang amt dinanti-nantikan oleh selurruh rakyat Malaysia. Ini kerana memandangkan corak situasi politik semasa yang yang boleh digambarkan sebagai penuh kejutan. Ditambah dengan pelbagai kejadian luar dugaan yang berlaku terutama peralihan kuasa di Perak.

Di samping itu, pelbagai spekulasi dan ramalan yang muncul terutama di Kedah dan Selangor membuatkan PRK ini lebih menarik. PRK ini juga pastinya akan menjadi lebih hangat memandangkan kedua-dua parti utama iaitu BN dan Pakatan Rakyat mahu memenangi kedua-dua kerusi ini. Bagi Barisan Nasional, mereka perlu menang bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa BN masih kekal sebagai parti dan kerajaan yang terbaik. Manakala Pakatan Rakyat hendak membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kemenangan di 2 Parlimen sebelum ini iaitu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukanlah disebabkan faktor nasib semata-mata malah ianya kerana rakyat Malaysia mahukan perubahan dalam kepimpinan dan kerajaan.

Sama-samalah kita nantikan kedua-dua Pilihanraya Kecil ini iaitu Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah pada 7 April 2009.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama