Advertisement - Contact Us

6 EXCO Perak Yang Baru Mengangkat Sumpah.

"Feb 10, 09 1:38pm
Enam exco kerajaan baru Perak bawah pentadbiran BN, termasuk empat muka baru, mengangkat sumpah pagi ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di depan Sultan Perak.

Tiada penunjuk perasaan di kawasan tersebut dan keadaan kelihatan tenang.

Senarai exco yang mengangkat sumpah dan portfolia masing-masing seperti berikut:

#Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Hamidah Osman - jawatankuasa industri, pelaburan, pembangunan usahawan, teknologi telekomunikasi, pelancongan dan hal-ehwal wanita.

#Adun Manong Datuk Ramly Zahari, yang juga setiausaha perhubungan Umno Perak - kemudahan awam, tenaga dan air,

#Adun Chenderiang, Dr Mah Hang Soon, juga ketua Pemuda MCA Perak - kesihatan, kerajaan tempatan, hal-ehwal pengguna, alam sekitar, pengangkutan awam dan hal-ehwal bukan Islam.

#Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad - pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan, perladangan dan kebajikan.

#Adun Kamunting, Mohd Zahir Abdul Khalid - pelajaran, pengajian tinggi, sains dan teknologi.

#Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin, juga ketua Pemuda Umno Perak - kesenian, kebudayaan, belia dan sukan.

Ramly dan Saarani hanya dua muka lama yang dikekalkan dalam barisan kecil exco Perak, berbeza sepuluh orang sewaktu dikuasai oleh Pakatan Rakyat."
- MalaysiaKini

Tahniah diucapkan kepada semua EXCO Perak yang baru dilantik Rakyat Perak pastinya mengharapkan agar EXCO ini bakal menjalankan tugas dan berkhidmat dengan sebaik mungkin. Inilah masa dan ketikanya untuk EXCO Barisan Nasional ini membuktikan bahawa keputusan Sultan Perak yang memperkenankan penubuhan kerajaan baru bukanlah satu kesilapan. Dan ini juga masanya untuk membuktikan bahawa Barisan Nasional masih lagi relevan dan amat diperlukan dalam usaha untuk membela nasib rakyat Perak.

Bagi kerajaan Barisab Nasional Perak, ini bukanlah masanya untuk berbulan madu atau bersenang lenang setelah dilantik menjadi kerajaan. Seharusnya Kerajaan Barisan Nasional Perak perlu berazam dengan sepenuh hati untuk berkhidmat dengan cemerlang dan menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin. Datuk Zambry selaku MB yang baru bersama barisan EXCO seharusnya sudah mulai merangka apa yang perlu dilakukan demi untuk mengembalikan keyakinan rakyat Perak terhadap kemampuan dan kredibiliti Barisan Nasional.

Buktikan bahawa kerajaan baru ini adalah jauh lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini. Sudah pasti ada hikmahnya disebalik peluang kedua yang telah diperolehi Barisan Nasional ini. Gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya kerana pastinya seluruh rakyat Perak termasuk Sultan Perak sendiri akan menilai setiap usaha dan khidmat yang diberikan demi kemajuan negeri Perak dan rakyat jelata.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama