-->

Suara Melayu Baru

Breaking News
Loading...

Khamis, 17 Disember 2009

TGNA lidah bercabang... DSAI penyangak temberang...

1. Akhirnya Tuan Guru Nik Aziz sudah mula bercakap mengenai persaraan dan pengunduran dirinya dari tampok kepimpinan parti termasuk melibatkan pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan. Walau pun tidak begitu jelas bila beliau akan berundur secara rasmi namun tanda-tanda sudah semakin nyata. Nama-nama yang disebut sebagai pengganti bagi mengambil alih kerusi no. 1 pentadbiran PAS di Kelantan sememangnya sudah dijangka sejak dari awal. Ini berdasarkan faktor kedudukan paling kanan dalam parti. (Rujuk MalaysiaKini)

2. Sebenarnya saya kurang berminat untuk bercakap berkenaan dengan ura-ura pengunduran TGNA termasuk siapa yang bakal menggantikannya. Selagi TGNA belum memutuskan secara rasmi bila beliau akan berundur maka selagi itu jugalah pelbagai perkara boleh berlaku. Sewajarnya TGNA sudah meletak jawatan sejak dari awal lagi. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tidak mustahil TGNA akan terus kekal di kerusinya sekarang hingga tiba PRU yang akan datang.

3. Seperkara yang amat menghairankan adalah berhubung isu perlantikan menantu TGNA sendiri, Ariffahmi sebagai peneraju PMBK yang hangat diperkatakan hingga sekarang. Sebelum ini TGNA begitu lantang menghentam pemimpin terutama dari UMNO yang dianggap mengamalkan kronisme. KJ dihentam bertalu-talu hanya kerana beliau menantu Pak Lah walhal perlu diingat kejayaan KJ sebagai Ketua Pemuda adalah disebabkan beliau dipilih oleh perwakilan, bukan dilantik.

4. Tidak dinafikan perlantikan Ariffahmi tidak menyalahi undang-undang. Namun adakah TGNA terlupa akan kedudukan Ariffahmi sebagai menantunya dan ini juga merupakan penyumbang kepada amalan kronisme yang selama ini ditentang oleh TGNA sendiri. Perlantikan oleh TGNA ini tidak ubah seperti meludah kahak ke langit, akhirnya jatuh masuk ke dalam lubang hidung sendiri.

5. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh TGNA kebelakangan ini juga sebenarnya semakin menyerlahkan kenyanyukan dan sangat boleh dipertikaikan oleh semua pihak. Lihat sahajalah bagaimana TGNA memuji tindakan yang diambil oleh PM, DS Najib sewaktu lawatan Najib ke Selatan Thailand malah TGNA turut menganggap Najib merupakan seorang pemimpin Islam yang berani dan boleh dicontohi. Padahal sebelum itu, TGNA dengan lantang tergamak mendoakan keburukan kepada DS Najib dan menganggap Najib sebagai seorang pemimpin sekular yang meminggirkan pentadbiran berteraskan islam. Ini jelas menunjukkan bahawa TGNA seperti hilang pendirian, cakap tak serupa bikin dan memiliki lidah yang bercabang.

6. Satu perkara lagi yang ingin saya sentuh adalah berhubung sikap lalai ahli Parlimen BN hingga hampir memakan diri sendiri. Perlu diingat bahawa Pakatan rakyat terutama Anwar Ibrahim sentiasa sanggup melakukan apa sahaja dengan apa cara sekalipun demi untuk menjatuhkan pentadbiran Barisan Nasional.

7. Sikap beberapa ahli Parlimen BN yang kurang mengambil berat dan sering mengambil mudah sesuatu perkara hampir mengakibatkan Parlimen gagal meluluskan bajet 2010. Bayangkan sekiranya bajet ini gagal diluluskan. Bagaimana kerajaan hendak melaksanakan pembangunan negara sekiranya bajet tidak dapat disalurkan. Kerajaan BN boleh musnah jika pembangkang berjaya mengagalkan bajet 2010 dan perkara ini tidak sepatutnya dipandang ringan. Jika tidak masakan PM dan TPM sanggup bergegas ke parlimen semata-mata untuk menyertai undi belah bahagian bagi memastikan bajet 2010 diluluskan.

8. Kejadian ini perlu diambil ikhtibar dan perlu dipastikan agar ia tidak berulang sama sekali. Ahli Parlimen BN perlu lebih bertanggungjawab dan lebih bijak mengatur jadual. Kita tidak mahu kerajaan BN terlungkup hanya disebabkan perkara-perkara kecil seperti ini walhal hakikatnya kerajaan BN sebenarnya sudah mula menambat semula keyakinan rakyat terhadap kemampuan dan kredibiliti pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan DS Najib.

Khamis, 3 Disember 2009

Doa bala dari TGNA bakal memakan diri dan tempiasnya akan dirasai rakyat Kelantan...

1. Bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana masih memberi ruang dan peluang kepada saya untuk kembali semula ke dunia blogger. Di atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan maka saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa menyepikan diri buat sementara waktu sebelum ini. Hari ini saya kembali dengan semangat baru demi meneruskan perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan baik yang nyata mahupun yang tersembunyi.

2. Perkara pertama yang ingin saya sentuh adalah berkaitan isu doa yang dilafazkan oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz yang memohon agar diturunkan bala kepada Perdana Menteri Malaysia. TGNA nampaknya kian hari semakin mendedahkan kelemahan sendiri. Wajarkah seorang pemimpin yang selama ini dihormati dan diletakkan status sebagai seorang ulama tetapi dalam masa yang sama tergamak mendoakan saudara seagamanya agar diturunkan bala?

3. Bagi saya, tindakan TGNA jelas bertentangan dengan prinsip Islam dan jelas tidak boleh dan tidak layak untuk dijadikan contoh. Seorang ulama tidak sepatutnya mendoakan keburukan dan bencana kepada orang lain baik kepada orang yang bukan Islam apatah lagi kepada saudara sesama Islam. Kalau pun TGNA benar-benar marah dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, adalah lebih baik dan mulia jika TGNA mendoakan agar dibukakan pintu hati dan diberi hidayah.

4. Pada hemat saya, TGNA sepatutnya belajar bersyukur di atas nikmat yang dikecapi selama ini di atas kemakmuran negara di bawah pimpinan kerajaan dengan izin Allah. Kerajaan juga tidak pernah meminggirkan negeri Kelantan walaupun Kelantan dipimpin oleh kerajaan PAS. Malah tidak salah jika saya katakan bahawa adakalanya negeri Kelantan dan rakyatnya telah menerima layanan yang jauh lebih baik berbanding negeri lain dari segenap aspek.

5. Yang menjadi maslah sekarang adalah dasar yang dibawa oleh kerajaan PAS di Kelantan mengakibatkan Kelantan menjadi ketinggalan dan nampak seperti dianak tirikan. Saya yakin jika kerajaan PAS benar-benar mempraktikkan dasar kepimpinan Islam maka Kelantan tidak akan menghadapi masalah untuk mengorak langkah ke ahadapan sepertimana negeri-negeri lain. Soalnya, adakah PAS benar-benar melaksanakan pentadbiran berteraskan Islam di Kelantan seperti yang digembar-gemburkan atau hanya sekadar gah di mulut sahaja.

6. Akhir-akhir ini semakin banyak kepincangan yang berlaku dan bergolak di dalam pentadbiran negeri Kelantan didedahkan satu persatu. Pihak yang mendedahkannya pula bukanlah orang lain, tetapi merupakan bekas orang kanan dan orang kuat di dalam pentadbiran PAS di negeri Kelantan. ini membuktikan bahawa PAS hanya bijak berpura-pura walhal dalam masa yang sama tidak ada satu pun dasar yang dicanang telah diperjuangkan selama ini.

7. Sebelum ini juga pernah saya nyatakan abahawa semakin lama seseorang pemimpin itu berada di atas maka semakin banyak lah lubang dan kantau yang akan dikaut. Perlantikan kaum kerabat TGNA di dalam pentadbiran kerajaan negeri membuktikan bahawa TGNA juga tidak terlepas dari amalan kronisme yang selama ini dikecam hebat. Ini tidak ubah seperti meludah ke langit, jatuh di atas batang hidung sendiri. Malah pendedahan yang melibatkan beberapa kepimpinan tertinggi PAS yang dilihat sudah pandai bermewah-mewah dan mengamalkan cara hidup ekslusif jelas membuktikan bahawa PAS semakin jauh terpesong dari landasan perjuangan yang asal.

8. Bagi saya, sudah sampai masanya untuk TGNA berundur dari arena politik. Semakin lama TGNA bertahan maka semakin merendahkan martabat dan kedudukan TGNA selaku seorang ulama dan pemimpin yang dihormati. Senario politik semasa ditambah pula dengan kedudukan PAS yang bersekongkol dengan PKR dan DAP sebenarnya sudah tidak sesuai dengan perjuangan yang sepatutnya dipertahankan oleh TGNA. Sebelum seluruh rakyat Malaysia hilang kepercayaan dan rasa hormat kepada TGNA maka adalah lebih baik untuknya berundur dan melepaskan jawatan yang disandang.

Rabu, 16 September 2009

Nizar vs BN : MIC tidak layak bersikap biadap dan kurang ajar kepada Tun Mahathir...

1. Hari ini, 16 September sepatutnya menjadi hari ulang tahun buat Anwar dan PKR menjadi PM Malaysia sekiranya cita-cita 'berdeke' salam'nya untuk merampas kerajaan pusat menjadi kenyataan. Tapi sedihnya apabila angan-angannya itu telah gagal menjadi realiti malah seharusnya boleh mula dilupakan terus hajatnya untuk menjadi PM sekiranya senario politik semasa diambil kira. Bermula dengan kegagalan kerajaan PR mempertahankan kerajaan Perak dan kemudiannya pergolakan yang tidak berpenghujung yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat umpama telur di hujung tanduk.

2. Keputusan PRK akhir-akhir ini tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur di atas kekuatan Pakatan Rakyat memandangkan kemenangan yang dikecapi oleh PR sudah dijangka berdasarkan status kawasan bertanding yang sememangnya merupakan kawasan atau kubu kuat Pakatan Rakyat. PR mungkin boleh dikatakan bersedia untuk menjadi kerajaan jika mereka berupaya merampas ADUN Bagan Pinang yang menjadi milik BN apatah lagi jika mampu menewaskan Tan Sri Isa Samad yang amat disayangi oleh penduduk kawasan tersebut.

3. Bukan soal Anwar dan PKR yang ingin saya bangkitkan, apa yang ingin saya perkatakan adalah berhubung dengan apa yang berlaku terutama membabitkan pemilihan MIC yang selesai baru-baru ini. Apa pun tahniah diucapkan kepada pemimpin MIC yang berjaya dipilih bagi menduduki kerusi tertinggi parti. Ini termasuklah Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu yang masih mampu memanipulasikan pemikiran ahli MIC agar terus setia dan tunduk kepadanya.

4. Pada dasarnya bagi saya, pemilihan MIC kali ini sebenarnya telah gagal mencapai objektif sepatutnya. Tidak wujud lagi prinsip ketelusan malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pemimpin MIC terutama Presidennya telah menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh ahli akar umbi. Samy Vellu cuba menjadikan MIC sebagai hak milik eksklusif dirinya di mana kepimpinan yang dipilih sudah ditentukan dari awal manakala pemimpin yang cuba berdiri di atas kaki sendiri akan terus dimatikan survivol politiknya.

5. Saranan dan nasihat dari mantan PM, Tun Mahathir memang wajar dan tepat ke batang hidung Samy Vellu. Tindakan seorang perwakilan yang menghina Tun Mahathir apabila mencadangkan agar gambar Tun diletakkan kalungan selipar amat biadap dan kurang ajar. Matlamatnya mungkin untuk membodek Samy Vellu tetapi tindakan ketrlaluannya tidak boleh dibiarkan dan MIC mesti mengambil tindakan drastik terhadap perwakilan tersebut.

6. Tun Mahathir sebagai seorang negarawan yang amat berjasa kepada negara tidak boleh dibiar diperlakukan sedemikian rupa. MIC perlu ingat sumbangan besar Tun terutama kepada kaum India di mana Tun tidak pernah membiarkan kaum India ketinggalan di dalam arus pembangunan negara. Malah saya percaya, perwakilan yang biadap itu juga sudah banyak menikmati hasil dari sumbangan Tun Mahathir. Jadi, saya menggesa kepada perwakilan tersebut dan kepimpinan MIC terutama Dato' Seri S. Samy Vellu agar mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Tun Mahathir di atas keterlanjuran yang berlaku.

7. Samy Vellu mungkin masih belum sedar apa yang berlaku dalam politik negara terutama melibatkan kaum India. Kejatuhan sokongan rakyat kepada BN dalam PRU yang lepas salah satu dari faktornya adalah peralihan sokongan masyarakat India dari MIC kepada PKR. Rata-rata kaum India sebenarnya sudah hilang kepercayaan kepada MIC di bawah pimpinan Samy Vellu. Yang tinggal hanyalah pembodek Samy vellu. Malah saya percaya, tempoh 3 tahun kepimpinan Samy Vellu yang akan datang hanya akan menjadikan MIC sebagai parti mewakili kaum India yang paling lemah.

8. Pengerusi BN, Dato' Seri Najib sudah perlu memulakan langkah untuk membetulkan keadaan yang berlaku terutama melibatkan komponen-komponen BN yang dilihat tidak stabil dan sedang menghadapi krisis kritikal. Itu pun sekiranya Najib masih mahu melihat BN terus menjadi kerajaan dan menguasai semula PRU yang akan datang. Ini termasuklah pergolakan yang berlaku dalam MCA, PPP, MIC, SNAP dan Gerakan.

9. BN seperti kelazimannya tidak boleh terlalu mengharapkan kepada UMNO untuk terus utuh. Sumbangan dan peranan dari komponen lain tidak boleh dipandang sepi malah perlu diperkukuhkan lagi. Bak kata pepatah,'cubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakit'. Malah komponen di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian memandangkan merekalah yang menjadi penyelamat kepada BN dalam PRU-12 yang lepas. Bukan niat untuk mencampuri rumah tangga parti komponen, tetapi cukup sekadar untuk menjernihkan semula keadaan dan menjadikan BN kembali relevan kepada semua kaum di Malaysia.

10. Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada UMNO Bahagian Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Fuad Zakarshi di atas keprihatinan untuk membiayaai kos guaman dan perbiacaraan yang bakal dihadapi oleh penduduk Seksyen 23, Shah Alam membabitkan isu kuil dan kepala lembu.

Isnin, 7 September 2009

Nizar Mangkuk : Penduduk Seksyen 23, S. Alam berjaya melondeh seluar TS Khalid...

1. Saya memuji keberanian dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh penduduk seksyen 23, Shah Alam dalam mempertahankan prinsip yang dipegang berhubung isu pemindahan kuil sewaktu perjumpaan dengan MB Selangor. Bagi saya, mengadakan perbincangan mata bertemu mata dan melibatkan pihak terlibat adalah lebih baik jika dibandingkan mengadakan demostarsi sambil membawa kepala lembu seperti yang berlaku sebelum ini.

2. Mengadakan demo sambil mengusung kepala lembu sebenarnya tidak sesuai malah langsung tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah. Ia sekadar satu platform untuk meluahkan rasa protes dengan cara yang salah ditambah pula dengan pembabitan pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukan dari kalangan penduduk yang terlibat yang cuba untuk menangguk di air yang keruh. Cara tak bertamadun ini hanya sesuai dilakukan oleh puak penyokong Pakatan rakyat seperti kelaziman yang mereka lakukan dan pastinya kita tidak mahu disamakan dengan mereka.

3. Saya juga mengucapkan syabas kepada penduduk Seksyen 23 kerana berjaya membongkarkan kelemahan dan kebodohan pentadbiran Pakatan Rakyat terutama TS Khalid melalui perbincangan yang diadakan. Walaupun berlaku kekecohan namun ia adalah wajar demi menegakkan kebenaran, bukan seperti kekecohan yang sering ditimbulkan PR yang nyata hanya untuk menegakkan benang yang basah seperti yang berlaku di Perak.

4. Saya turut tertarik dengan satu artikel melalui laman blog penyokong PR yang menyifatkan cara TS Khalid berhadapan dengan isu kuil ini melambangkan ketelusan pentadbiran PR. Adakah membuat keputusan memindahkan kuil tanpa berbincang dengan penduduk terlibat dinamakan telus? Teluskah ia jika keputusan yang dibuat tidak mengambil kira sensitiviti penduduk baik yang beragama Hindu ataupun Islam?

5. Keputusan pemindahan kuil ke Syeksen 23 oleh kerajaan PR sebenarnya turut tidak dipersetujui dan amat dikesali oleh beberapa persatuan agama Hindu sendiri. Membina kuil di kawasan minoriti masyarakat Hindu adalah tidak sesuai. Masyarakat Hindu pasti akan mengalami kesukaran untuk menjalankan aktiviti keagamaan di kuil yang jauh dari kawasan mereka.

6. Sebenarnya ketegangan ini dapat dielakkan dari awal lagi jika kerajaan Pakatan Rakyat selangor benar-benar telus dalam menjalakan tanggungjawab. Malah menurut sumber, masalah kuil ini sebenarnya berpunca dari janji yang ditabur oleh kerajaan PR sewaktu dalam kempen PRU yang lalu. Seperti yang berlaku di kampung Buah pala, akibat terlalu mudah menabur janji yang tidak rasional menyebabkan timbul masalah di kemudian hari.

7. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan PR tidak peka terhadap keadaan dan situasi di sekeliling dan hanya menabur janji semata-mata untuk memenangi hati rakyat. Masalah akan timbul bila tiba masa untuk menunaikan janji dan alternatif yang dipilih untuk melepaskan tengkok yang berbelit adalah menyalahkan pihak lain sebagai punca yakni kerajaan terdahulu. Inilah yang sering berlaku dan dilakukan baik di Selangor mahupun di Pulau Pinang.

8. Seperkara lagi, tidak terlambat rasanya untuk saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham ADUN Bagan Pinang yang pergi menyahut panggilan Ilahi 2 hari lalu. Belumpun habis cakap-cakap berkaitan PRK DUN Permatang Pasir, kini negara bakal berdepan satu lagi PRK dan kali ini seluruh jentera parti akan tertumpu ke Negeri Sembilan.

Khamis, 3 September 2009

Nizar Mangkuk : Betapa bertuahnya rakyat Perak ditadbir 2 kerajaan dalam satu masa...

1. Semalam, berakhir sudah satu lagi Sidang DUN haram anjuran Pakatan Rakyat Perak. Bezanya, kali ini sidang haram tersebut berjaya dilangsungkan didalam sebuah Dewan Hotel Heritage dan bukannya di bawah pokok seperti yang telah berlaku sebelum ini. Pakatan rakyat sedar bahawa Sidang haram anjuran mereka sebenarnya tidak akan kemana malah tidak akan membawa sebarang erti langsung kepada mana-mana pihak termasuk pentadbiran baru pmpinan BN. Namun, mereka tetap melangsungkan Sidang tersebut semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan dan menarik perhatian serta simpati rakyat.

2. Pelbagai reaksi telah diberikan baik dari sudut positif mahupun negatif terhadap apa yang telah berlaku di negeri Perak. TPM Malaysia, TS Muhyiddin Yassin menempelak tindakan Pakatan Rakyat ini dan menganggap bahawa Sidang haram yang diadakan ini telah membelakangkan dan menafikan arahan serta perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah. MB Perak yang baru, DS Dr. Zambry menganggap bahawa Sidang haram tersebut hanyalah satu tindakan syok sendiri dan menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan BN langsung tidak rasa tergugat dengan tindakan PR itu.

3. Bagi saya, rakyat yang paling bertuah jika dibandingkan dengan lain-lain rakyat di seluruh Malaysia tidak lain dan tidak bukan adalah rakyat di negeri Perak. Jika di lain-lain negeri, hanya satu kerajaan sahaja yang bertanggungjawab mentadbir dan memerintah, senario ini berbeza di Negeri Perak. Perak sekarang mempunyai 2 buah kerajaan yang memerintah pada satu masa yang sama termasuk mempunyai 2 orang MB iaitu dari BN dan Pakatan Rakyat.

4. Sehubungan itu, rakyat Perak tidak perlu gusar untuk meminta sesuatu baik dari aspek pembangunan kawasan, soal kebajkan malah untuk mendapat kan sebarang pembiayaan untuk melaksanakan apa-apa projek dan majlis yang dirancang. Rakyat Perak boleh memohon kepada kerajaan BN dan jika gagal mendapat perhatian maka permohonan boleh beralih kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Yang pasti kedua-dua kerajaan ini akan melakukan yang terbaik demi untuk meningkatkan imej kerajaan masing-masing dan untuk memenangi hati rakyat Perak.

5. Selain itu, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Polis Negara, Dato' Musa Hasan kerana sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk melanjutkan kotrak perkhidmatan selama setahun sebagai Ketua Polis Negara. Walaupun mendapat tentangan hebat dari banyak pihak terutama dari pihak pembangkang namun tidak dapat dinafikan akan kredibiliti dan kemampuan KPN menjalankan tugas membuatkan beliaulah pilihan terbaik untuk menerajui PDRM bagi tempoh 1 tahun lagi. Mungkin disebabkan ketegasan beliau terutama dalam menangani isu melibatkan tindakan keterlaluan pembangkang menjadikan beliau sebagai calon paling tidak popular di mata pembangkang.

6. Tahniah juga diucapkan kepada kerajaan Malaysia kerana akhirnya berjaya memiliki sebuah kapal selam sendiri. Kapal Selam yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 9.20 pagi tadi dan disambut oleh Perdana Menteri Malaysia. Kejayaan ini akan meningkatkan imej TLDM dan negara dan ini meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara lain dalam aspek pertahanan.

Nizar Mangkuk : Sidang haram PR Perak tetap haram seharam binatang H1N1...

1. Keadaan di Ipoh hari ini sekali lagi kembali kecoh dan kelam kabut. Ini berikutan tindakan puak-puak ADUN Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh mantan MB Perak, Mohd Nizar dan bekas Speaker DUN yang ditendang, Sivakumar cuba untuk mengadakan Sidang DUN haram mereka di bangunan kerajaan negeri.

2. Tahniah dan terima kasih diucapakan kepada pihak berkuasa terutama anggota polis dan FRU yang berjaya mengawal keadaan sejak dari awal. Pihak polis juga terpaksa menahan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokong yang berdegil dan cuba mencetuskan kekacauan. Pihak berkuasa juga telah melarang sebarang perhimpunan dari diadakan di sekitar bangunan SUK termasuk di kawasan pokok rendang yang pernah dijadikan lokasi persidangan haram bawah pokok tempoh hari.

3. Mungkin disebabkan tidak ada pilihan lain, puak-puak Pakatan Rakyat ini akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk meneruskan sidang haram mereka di dewan Ballroom, hotel Heritage yang terletak berhampiran bangunan SUK. Sekurang-kurangnya pilihan lokasi mereka kali ini lebih 'berjenis' jika dibandingkan Sidang tepi jalan dibawah pokok seperti yang mereka adakan sebelum ini.

4. Di dalam sidang haram kelolaan PR ini, mereka kononnya telah meluluskan 3 usul. Antaranya melibatkan penubuhan beberapa jawatankuasa, usul untuk mengenakan tindakan undang-undang termasuk penjara terhadap Speaker baru yang dilantik, dato' R. ganesan dan timbalan serta usul membantah tindakan polis yang menghalang mereka dari memasuki bangunan SUK. Apa yang lebih menarik mereka menjadikan sidang haram di hotel ini sama seperti yang sering diadakan di bangunan DUN Perak. Ini termasuklah susunan kerusi yang disediakan khas untuk ADUN BN walaupun tidak ada ADUN BN yang hadir.

5. Apakah kesudahannya dengan usul yang mereka kemukakan di dalam sidang haram ini? Akan adakah pihak yang akan merealisasikan setiap usul yang mereka bahaskan? Mereka mungkin tidak sedar bahawa tindakan mereka yang mengadakan sidang haram ini hanyalah membuang masa. Sidang haram ini hanya sekadar satu tindakan syok sendiri bertujuan untuk menegakkan benang yang basah dan pada masa yang sama cuba sedaya upaya untuk mengelirukan rakyat.

6. Saya berasa amat simpati dan kasihan terhadap nasib yang menimpa seluruh rakyat negeri Perak yang terpaksa berdepan dengan masa depan yang tidak ketentuan. Pergolakan yang berlaku terhadap kerajaan negeri Perak sejak berakhirnya PRU-12 yang lalu sebenarnya telah meninggalkan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat Perak. Bayangkan berapa banyak masa sudah terbuang akibat dari kacau bilau ini.

7. Malah jika diperhatikan sepanjang sidang DUN yang diadakan sejak dari PRU yang lalu, tidak ada langsung sebarang usul yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Perak. Para wakil rakyat ADUN langsung tidak membangkitkan dan membincangkan usul berkaitan pembangunan negeri, soal kebajikan rakyat, masa depan dan hala tuju negeri Perak. Apa yang sering dibangkitkan hanyalah soal pecat memecat, tuduh menuduh, caci mencaci dan akan berakhir dengan kekecohan.

8. Sesuatu sebenarnya perlu dilakukan bagi meneyelesaikan kemelut yang melanda dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak. Mungkin sudah tiba masanya untuk pihak istana mula masuk campur secara agresif bagi menentukan secara muktamad siapa yang berhak sebagai kerajaan negeri.

9. Apa yang lebih penting, kedua-dua pihak yakni Barisan nasional dan Pakatan Rakyat perlu lebih rasional dan belajar menerima hakikat dengan setiap keputusan yang diambil bagi menyelesaikan kemelut ini. Sikap keras kepala, ego dan ketamakan kuasa perlu diketepikan sementara jika mahu melihat masalah di negeri Perak selesai. Selagi simpulan ini tidak dapat dileraikan maka selagi itulah negeri Perak tidak dapat berkembang pesat malah rakyatlah yang jelas menjadi mangsa. Bak kata pepatah 'gajah dihutan bergaduh, pelanduk tersepit di tengah-tengah'

Rabu, 2 September 2009

Nizar Mangkuk : Tahniah ! Pakatan Rakyat Kedah berjaya memperbodohkan diri sendiri...

1. Cita-cita Pakatan Rakyat Kedah untuk merampas semula satu kerusi milik BN akhirnya tinggal angan-angan Mat Jenin. Ini berikutan keputusan SPR yang menolak permohonan Speaker Kedah agar mengosongkan kerusi DUN Kota Seputeh.

2. DUN Kota Seputeh menjadi kontroversi sebelum ini apabila Speaker Dewan Kedah mendakwa wakil rakyat dari BN yang mewakili kerusi tersebut telah melanggar peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah. ADUN kerusi tersebut, Dato’ Abu Hasan Sarif dikatakan telah gagal menghadirkan diri ke persidangan DUN sebanyak 2 kali berturut-turut.

3. Menurut peraturan mesyuarat, Speaker Dewan berhak menggugurkan kedudukan mana-mana ADUN jika gagal menghadirkan diri lebih dari 2 kali mesyuarat bagi satu-satu penggal tanpa sebab yang munasabah.

4. Namun, setelah diteliti oleh SPR, didapati bahawa Speaker Dewan telah gagal memberi peluang kepada Dato’ Abu Hasan untuk menerangkan sebab beliau tidak hadir ke mesyuarat. Malah, Speaker dewan juga dikatakan tidak menerima sijil sakit yang diserahkan oleh Dato’ Abu Hasan kepada beliau.

5. SPR juga mendapati bahawa Dato’ Abu Hasan tidak hadir 2 kali mesyuarat berturut-turut pada 2 penggal yang berbeza. Beliau bukannya tidak hadir ke mesyuarat secara berturut-turut pada penggal yang sama seperti yang didakwa oleh Speaker.

"PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan bahawa tiada kekosongan berlaku pada kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh di Kedah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata kerusi itu masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sharif yang memenanginya pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Katanya, SPR dalam mesyuaratnya hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Adun Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh Adun Kota Siputeh diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata ,sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

SPR pada 17 Ogos lalu menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail berhubung kekosongan luar jangka yang dikatakan berlaku di kerusi Kota Siputeh.

Pemakluman itu menyatakan bahawa Adun kawasan berkenaan, Abu Hassan gagal menghadiri sesi DUN dengan tidak memperoleh kebenaran Speaker sebanyak dua kali berturut-turut, sekaligus menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah. Dalam hal ini, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu. "SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos. "Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya"
- B. Harian Online


Nizar Mangkuk : Keruntuhan moral pemimpin PR semakin merebak kepada masyarakat Malaysia...

1. Kemanakah hilangnya jati diri dan nilai murni yang sepatutnya menjadi identity rakyat Malaysia? Setiap hari ada saja laporan pembunuhan kejam yang disiarkan didada-dada akhbar. Hinggakan ada kalanya terasa seperti kejadian tragis seperti ini menjadi kebiasaan dan tidak membawa sebarang erti. Apakah punca sebenar hinggakan manusia tergamak berubah sifat secara tiba-tiba menjadi sebegitu kejam malah lebih tega dari sifat binatang?

2. Semalam, akhbar telah melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh oleh isteri sendiri. Mangsa yang telah dibunuh dengan kejam kemudinnya disumbat ke dalam beg pakaian sebelum dihumban ke dalam gaung. Bagaimana seorang wanita yang kelazimannya memiliki sifat lemah lembut dan penyayang boleh berubah menjadi pembunuh? Malah, menurut laporan polis, wanita tersebut juga dipercayai sudah merancang dengan rapi sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu. Ini berdasarkan keadaan tempat kejadian yang telah dicuci dan dibersihkan dengan rapi menggunakan peluntur manakala perabut turut dicat semula.

3. Itu apa yang berlaku semalam, hari ini, seorang kanak-kanak yang baru berumur 3 tahun telah ditikam dengan kejam oleh bapa saudaranya sendiri. Mangsa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan neneknya yang kebetulan berada di situ.

"GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai mati dibunuh oleh bapa saudaranya ketika sedang menonton televisyen di rumahnya di Kampung Melayu di sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Aziz Hassan, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi apabila mangsa didatangani bapa saudaranya seorang penagih tegar lalu menikam mangsa dengan pisau di bahagian rusuk kanannya.

"Mangsa sedang menonton TV bersama nenek saudaranya manakala bapanya sedang tidur tidak jauh dari situ. Tiba-tiba suspek muncul dengan sebilah pisau dan terus menikamnya.

"Neneknya yang melihat kejadian itu terus memeluknya sebelum memangkunya keluar untuk mendapat pertolongan. Keadaan mangsa ketika itu berlumuran darah.

"Bapa mangsa yang kemudiannya menyedari kejadian tersebut terus membawa mangsa ke Hospital Gua Musang, tetapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya.

Aziz berkata, sejurus selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu, polis bergegas ke rumah mangsa dan menahan suspek berusia 22 tahun.

"Kita masih menyiasat motif pembunuhan," katanya."

- B. Harian Online


4. Tidak dinafikan salah satu punca kenapa kejadian seperti ini semakin beleluasa adalah disebabkan kurang didikan agama menyebabkan manusia hilang pegangan dan hidup tanpa pedoman.

5. Sepatutnya semua pihak perlu kembali ke pangkal jalan dan kembali memuhasabah diri. Jangan disebabkan terlalu banyak berpolitik hingga mengabaikan tanggungjawab dan peranan yang sepatutnya terhadap masyarakat, rakyat dan Negara.

Selasa, 1 September 2009

Nizar Mangkuk : Anwar Ibrahim melompat gembira bila kerajaan umum minyak naik.

1. Kerajaan Malaysia hari ini membuat satu kejutan kecil apabila mengumumkan kenaikan harga petrol berkuatkuasa 12 tengah malam, 1 september 2009. Harga bagi petrol jenis RON97 dinaikkan dari RM1.80 kepada RM2.05. Manakala petrol jenis RON92 telah dimansuhkan pengeluarannya dan digantikan dengan RON95 dengan kadar harga baru iaitu RM1.80 bagi setiap liter.

2. Perkara ini diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media sebentar tadi. Kenaikan harga petrol telah diputuskan setelah mengambil kira kenaikan harga petrol dunia yang mencecah hingga 102%. Harga petrol dunia kini berada pada kadar USD82 bagi setiap tong naik dari USD40 setong.

3. Bagi memastikan kenaikan harga minyak ini tidak mendatangkan beban kepada pengguna, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menggantikan jenis RON92 dengan RON95 sebagai pilihan kepada pengguna. RON95 merupakan jenis minyak yang telah dinaik tarafkan daripada produk RON92.

4. RON95 amat sesuai digunakan oleh semua jenis kenderaan biasa dan telah mendapat pengiktirafan kualiti serta tidak mendatangkan mudarat kepada enjin dan alam sekitar. Kualitinya hampir setaraf dengan jenis RON97. Pengguna tidak perlu khuatir untuk beralih menggunakan jenis petrol RON95 bagi menggantikan penggunaan RON97.

5. Sementara itu, pengeluaran jenis RON97 diteruskan walaupun dengan nilai harga yang meningkat bagi menampung permintaan terhadap pengguna yang menggunakan jenis kenderaan berprestasi tinggi.

6. Sepatutnya tidak timbul soal bebanan kepada pengguna walaupun terpaksa berdepan dengan situasi kenaikan harga minyak dunia. Ini kerana, kerajaan bersungguh-sungguh mencari alternatif terbaik dengan memperkenalkan RON95 bagi menggantikan RON92 sebagai pilihan yang tidak membebankan pengguna.

7. Walaupun begitu, saya yakin dan percaya, akan wujud beberapa pihak terutama yang didalangi oleh puak pakatan Rakyat yang akan mengeksplotasikan kenaikan ini bagi mendapatkan publisti dan perhatian rakyat, sepertimana yang sering mereka lakukan sebelum ini. Malah tidak mustahil slogan seperti 'hari ini jadi kerajaan, esok harga minyak turun' akan kembali berkumandang di bibir penyangak Pakatan Rakyat..

8. Apa pun, inilah masa paling sesuai bagi kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin untuk sentiasa menunjukkan sokongan kepada usaha kerajaan. Tidak salah bagi kita sekali-sekala untuk menyumbang kepada kerajaan sebagai balasan buat kerajaan yang sering mengambil berat hal kebajikan rakyatnya.

Isnin, 31 Ogos 2009

Nizar Mangkuk : Guan Eng sepatutnya menjadi pelakon popular drama Kung Fu, bukan KM Pulau Pinang...

1. Setiap kali timbul masalah berkaitan pentadbiran kerajaan Negeri Pulau Pinang maka Lim Guan Eng bersama dengan puak-puak penyamun Pakatan rakyatnya pasti akan mengalih perhatian rakyat dan mencari jalan untuk menyalahkan kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu yakni di bawah pimpinan BN. Bermula dengan isu jual beli tanah di beberapa tempat termasuk di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam, isu kuari dan pengurusan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, terbaru melibatkan isu pengambil alihan tanah di Kampung Buah Pala yang mencetuskan kotroversi dan beberapa isu lain.

2. Setiap kali kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Guan Eng menemui jalan buntu dalam menyelesaikan masalah dan setiap kali itu jugalah kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Gerakan yang akan dipersalahkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sepanjang pentadbiran Guan Eng, tidak ada satu masalah atau isu yang dapat diselesaikan dengan cemerlang. Apa yang mampu dilakukan oleh Guan Eng hanyalah mensensasikan dan mencari populariti hasil dari masalah yang timbul dan pada masa yang sama akan mencetuskan spekulasi bagi mendapat pujian dari pihak lain.

3. Terbaru, Guan Eng telah membuat kenyataan media bahawa beliau sedia menyahut cabaran debat dari Tsu Koon bagi membincangkan segala masalah yang timbul di Pulau Pinang. Setelah berkali-kali Guan Eng menyatakan hasrat mahu berdebat secara terbuka dengan Tsu Koon dan kali ini akhirnya hasratnya bakal menjadi kenyataan.

4. Bagi saya, memang wajar untuk Tsu Koon menjawab segala tohmahan yang dibuat oleh Guan Eng bagi memulihkan semula imej kerajaan BN yang sering dipermainkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat ini. Debat bukanlah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah. Ia hanya sebagai satu platform untuk saling salah menyalahkan dan untuk membuka keaiban pihak lawan mahupun kelemahan diri sendiri.

5. Selain itu, kenyataan Guan Eng yang mahu debat ini diadakan secara terbuka dan disiarkan secara langsung oleh media membuktikan sikap sebenar Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang. Guan Eng bukan lah pimpinan yang mementingkan tanggungjawab, tetapi merupakan seorang pemimpin yang mahu digelar selebriti yang sering dahagakan publisiti dan popularity.

"Ketua Menteri, Lim Guan Eng menerima cabaran Gerakan untuk berdebat berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinannya yang dikatakan sering menyalahkan kerajaan negeri terdahulu, apabila timbul sesuatu masalah.

Bagaimanapun, Lim mahu Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri bersemuka dan berdebat dengannya bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan negeri ini.

Katanya, Koh yang merupakan bekas ketua menteri tidak perlu menghantar pemimpin atau anggota partinya bagi merealisasikan cabaran debat berkenaan, lapor Bernama.

"Kalau dia (Koh) berani berdepanlah dengan saya, jangan hanya menghantar proksi untuk berdebat.

"Saya mengalu-alukan sekiranya beliau mahu berdebat dan memberi jawapan ke atas segala persoalan yang dibangkitkan sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang Mac tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas hadir pada perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri hari ini.

Turut hadir menyaksikan perarakan berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan Exco kerajaan negeri.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dilaporkan berkata Gerakan bersedia berdebat dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kepimpinan negeri itu yang sering menyalahkan kerajaan terdahulu apabila timbul sesuatu masalah.

Koh berkata pihaknya akan menghantar pemimpin dan anggota parti terutama di peringkat Pemuda Gerakan yang sentiasa bersedia untuk berdebat dan memberikan
fakta jelas.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, turut menetapkan syarat supaya debat yang dicadangkan Koh itu disiarkan secara langsung di televisyen bagi mengelak ia diputar belit media.

"Saya bersedia hadir sekiranya debat berkenaan disiarkan secara langsung. Kalau tiada, tidak guna kerana akan ada media memutar belit kenyataan serta fakta diberi," katanya."
- MalaysiaKini

Nizar Mangkuk : Penyokong Chin Peng seperti Guan Eng mustahil akan menyambut 31 Ogos...

1. Inilah hari ulang tahun kemerdekaan Negara yang paling hambar pernah diraikan sepanjang tempoh 52 tahun Negara menikmati kemerdekaan. Saya yakin dan percaya, ramai yang pasti akan menyokong dakwaan saya ini. Malah, sejak dari awal Ogos yang lalu hinggalah ke hari ini iaitu kemuncak sambutan, langsung tidak dirasai kehangatan mahupun semangat kemerdekaan. 31 Ogos tidak ubah dan seperti tidak ada bezanya dengan cuti-cuti umum yang lain.

2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP nampaknya seperti tidak memberi tumpuan untuk menyambut kedatangan 31 Ogos. Kempen-kempen bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan seperti tidak wujud di Pulau Pinang. Malah permis-permis perniagaan, bangunan pejabat dan rumah kediaman jua dilihat tidak menggantungkan bendera sebagai tanda sokongan kepeda kemerdekaan Negara.

3. Senario ini jelas berbeza jika dibandingkan sewaktu pentadbiran kerajaan BN dahulu. Sejak dari awal lagi kerajaan BN akan menganjurkan pelbagai kempen bagi menyambut kehadiran 31 Ogos. Pertandingan memasang bendera dengan pelbagai gaya kreatif di peringkat kampong, mukim, daerah mahupun negeri seperti sudah menjadi acara tahunan. Bangunan-bangunan dan permis perniagaan digalakkan untuk menaikan bendera. Malah kenderaan persendirian juga dipasang bendera negara dengan pelbagai gaya menarik.

4. Matlamat sambutan kemerdekaan ini bukanlah untuk mendewa-dewakan kemerdekaan negara. Tetapi ini bertujuan untuk melahirkan rasa kecintaan kepada negara dan sebagai tanda kesyukuran atas kemakmuran yang dinikmati.

5. Tidak sepatutnya jika ada pihak yang memberi alasan bahawa kemerdekaan yang jatuh dalam bulan Ramadan membuatkan sambutan menjadi hambar. Malah, untuk memasang bendera di rumah dan kenderaan tidak memerlukan banyak tenaga dan tidak mendatangkan risiko jangkitan H1N1.

6. Kerajaan Negeri di bawah pimpinan DAP juga mungkin merasakan bahawa kemerdekaan negara bukanlah satu perkara yang penting dan boleh dibanggakan oleh mereka. Ini disebabkan peranan mereka yang sebenarnya langsug tidak memberi apa-apa sumbangan kearah mendapatkan kemerdekaan dari penjajah. Matlamat DAP di Malaysia sebenarnya adalah untuk memerintah dan mengaut hasil kekayaan negara, bukan mencintai dan menghargai kedaulatan negara.

Nizar Mangkuk : Orang kaya dan berharta pun masih ada hati memohon bantuan wang Zakat...

1. Hari ini maka genaplah negara kita meraikan ulangtahun ke 52 kemerdekaan. Sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa berasa bersyukur atas kemakmuran yang kita nikmati hasil dari kemerdekaan yang telah kita kecapi. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah memerah keringat dan memandi darah demi untuk memperoleh kemerdekaan ini.

2. Tidak dapat dinafikan juga hasil usaha kerajaan selama ini yang telah dibukakan jalan oleh Allah untuk mengisi kemerdekaan ini dengan pelbagai pembangunan, kemajuan serta kenikmatan khas buat seluruh rakyat jelata tanpa mengira kaum, darjat dan keturunan. Walau pelbagai halangan dan tohmahan terpaksa ditempuhi oleh kerajaan, namun tanggungjawab untuk memberi peluang kehidupan yang selesa kepada rakyat tidak pernah diabaikan.

3. Malah yang terbaru, kerajaan telah mengumumkan bantuan dalam bentuk amanah saham bakal diberikan kepada penduduk bandar yang berpendapatan rendah atau berada di bawah tahap kemiskinan. Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan bantuan menanggung 1/3 kos pembinaan rumah mesra rakyat melalui SPNB untuk diberikan kepada rakyat yang layak menerima.

4. Siapakah yang akan menerima bantuan ini? Dan pihak manakah yang paling banyak memohon bantuan dari kerajaan ini? Terus terang saya nyatakan, sepanjang pengamatan saya, pihak yang paling ramai memohon apa jua bantuan yang diumumkan oleh kerajaan tak lain dan tak bukan adalah dari kalangan penyokong Pakatan rakyat atau lebih tepat penyokong PAS. Malah mereka jualah yang paling ramai menerima bantuan ini baik melalui pembangunan negeri, jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun melalui bantuan wang zakat.

5. Ayahanda saya merupakan salah seorang pemimpin masyarakat setempat yang diamanahkan menjaga kebajikan ahli qariah dan dibawah kuasa JKKK. Setiap anak Qariah yang ingin memohon mana-mana bantuan terutamanya bantuan wang zakat yang menggunakan borang biru akan mendapatkan pengesahan dan sokongan dari ayah saya. Apa yang sering saya lihat, rata-rata yang datang untuk emohon tandatangan pengesahan merupakan mereka yang sentiasa menentang kerajaan dengan lantang setiap kali tiba pilihanraya.

6. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Ini kerana sikap golongan pembangkang atau Pakatan Rakyat yang tidak tahu bersyukur malah kepimpinan mereka juga telah menanam di setiap sanubari para penyokong dengan prinsip 'apa yang kerajaan bagi, kita sapu. Undi jangan sekali'. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka tanpa ada rasa segan silu atau rasa bersalah turut 'melahaq' bantuan kerajaan walaupun ada segelintir dari mereka yang sudah tidak layak memohon dan hidup dalam keadaan senang lenang.

7. Seperkara lagi yang ingin saya persoalkan adalah tahap status penerima bantuan yang sepatutnya layak menerima. Kelmarin, satu majlis memberi bantuan dan sumbangan kepada ibu tunggal dan fakir miskin telah diadakan di Dewan Panorama dalam Parlimen Tasek Gelugor. Maka berduyun-duyunlah bakal penerima yang hadir bagi mendapatkan bantuan tersebut.

8. Menurut sumber, penerima yang bakal menerima bantuan adalah terdiri dari 3 nama bagi setiap mukim. Nama-nama yang tersenarai telah dicadangkan oleh kepimpinan kawasan mengikut mukim masing-masing. Apa yang ingin saya bangkitkan adalah status kelayakan bagi setiap penerima bantuan tersebut.

9. Memang tidak dinafikan bahawa ramai di kalangan penerima memang boleh dikategorikan sebagai fakir miskin yang hidup susah dan sememangnya layak menerima bantuan tersebut. Namun apa yang menarik perhatian saya adalah masih wujud penerima yang jika dinilai dan dilihat dari mata kasar seperti sudah tidak layak menerima bantuan tersebut. Datang dengan menaiki kereta mewah, dileher tergantung hp jenis N95, barang kemas sampai ke siku, rantai emas melabuh sampai ke pusat tetapi masih naik ke pentas bagi menerima bantuan yakni 10kg beras, gula, minyak, susu, kopi, milo, tepung dan lain-lain. Mustahil mereka ini sekadar wakil kerana memang sudah dinyatakan awal-awal lagi bahawa wakil tidak dibenarkan menerima bantuan.

10. Bukan lah niat saya untuk mempersoalkan rezeki orang lain. Cuma sekadar berkongsi akan apa yang telah saya lihat. Bagi saya, sepatutnya pihak pemimpin perlu menilai dan menapis dengan teliti dan sedalam-dalamnya sebelum memutuskan siapa yang layak untuk diberikan bantuan. Kita tidak mahu berlaku, yang layak terpaksa berputih mata, yang kaya terus menyumbat kantong sendiri dengan hak orang lain. Di samping itu, kita sendiri perlulah menilai diri sendiri samada masih layak menerima bantuan atau lebih mulia menghulur bantuan kepada yang lebih memerlukan. Adalah amat menyedihkan sekiranya niat kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat miskin tidak tercapai hanya disebabkan perkara-perkara remeh seperti ini.








Jasper Roberts - Blog

 
REPLACE-WITH-FACEBOOK WIDGET-CODE-HERE