Advertisement - Contact Us

Tiba Masanya Rafidah Meletak Senjata...



Persidangan Wanita UMNO di peringkat Bahagian masih lagi belum melabuhkan tirainya dan peringkat tertinggi pula masih belum dibuka pentasnya namun bahang pemilihan terutama melibatkan jawatan tertinggi yakni Ketua Wanita UMNO Malaysia terus membuak-buak kehangatannya. Pelbagai telahan, saranan dan pelan telah diumumkan, namun apa yang jelas suara akar umbi terus mendesak inginkan satu perubahan drastik yang bersifat segera.

Bermula dengan pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh nahkodanya yakni Dato' Seri Rafidah Aziz kepada Naib Ketuanya Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil yang dijangka pada bulan Jun dan sekaligus menunjukkan bahawa Rafidah ingin terus memegang jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO pada pemilihan yang akan datang. Disusuli dengan pengumuman Naib Ketuanya yang meminta agar setiap mesyuarat Wanita peringkat Bahagian untuk tidak mencalonkannya bagi mencabar jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia.


Dimanakah relevannya pelan yang telah diumumkan oleh Rafidah? Persoalannya terus menjadi teka-teki. Apakah matlamat dan tujuan sebenar pelan ini diumumkan? Jika menurut Rafidah Aziz, pelan ini diwujudkan untuk mengelakkan berlaku pertandingan bagi memilih jawatan No.1 bagi Pergerakan Wanita Malaysia. Ia sekaligus dapat mengelakkan berlaku perpecahan dalam parti. Mungkin secara dasarnya ia telah melanggar prinsip demokrasi yang membenarkan setiap ahli parti berhak mencalonkan atau memilih ketua bagi sesuatu organisasi.

Pujian mungkin layak diberikan kepada Shahrizat yang sedia menerima cadangan untuk berkompromi dan ia sekaligus menunjukkan taat setia yang tinggi kepada ketuanya. Namun sampai bila taat setia ini harus dipegang sedangkan jika dinilai dari segi kelayakan, kemampuan dan pengalaman jelas menunjukkan bahawa Sharizat sudah mampu mengambil alih kuasa dari ketuanya.

Namun, setelah berlangsungnya hampir separuh mesyuarat wanita peringkat bahagian di seluruh Malaysia, akar umbi telah melontarkan pandangan melalui undian yang jelas bertentangan dengan pelan yang telah dipersetujui sebelum ini. Pencalonan yang diterima oleh Sharizat telah melayakkan beliau untuk bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa akar umbi rata-rata sudah tidak mahu menanti saat peralihan yang dipersetujui.

Sebenarnya, sudah tiba masanya untuk Rafidah meletak senjata dan memberi laluan kepada Sharizat memikul tanggungjawab sebagai Ketua. Apa lagi yang mampu dilaksanakan oleh Rafidah dalam tempoh tiga bulan selepas pemilihan peringkat tertinggi berlangsung. Adalah tidak wajar untuk membiarkan Sharizat hanya memangku jawatan ketua selepas tempoh peralihan iaitu pada bulan Jun.

Mungkin matlamat Rafidah hanyalah untuk melihat sisa-sisa kekuatan yang ada pada dirinya. Atau lebih kejam lagi, mungkin pelan yang dicadangkan oleh Rafidah hanyalah sebagai gimik politik dan tatkala tiba masanya untuk menyerah kuasa, maka pelbagai alasan akan diberikan.

Sharizat seharusnya perlu melihat lebih jauh lagi. Sudah tiba masanya untuk beliau memberanikan diri untuk mencabar jawatan ketua. Dan jika nilai berdasarkan pencalonan yang diterima, Sharizat memiliki peluang yang lebih cerah untuk memegang jawatan ketua berbanding Rafidah jika berlaku pertandingan. Sudah pasti, perwakilan Wanita yang sebelum ini mencalonkan Rafidah akan beralih arah dan mengundi Sharizat sekiranya Sharizat serius untuk mencabar jawatan ketua.

Bagi Rafidah pula, sudah tiba masanya untuk beliau memberi kepercayaan kepada Naib Ketuanya untuk menjadi nahkoda kepada Pergerakan Wanita Malaysia. Lebih manis jika beliau mengumumkan untuk mengundurkan diri sebelum berlaku pemilihan jika dibandingkan tewas sewaktu pertandingan. Akar umbi juga telah menunjukkan reaksi untuk melihat perubahan peringkat tertinggi. Ini juga akan dapat mengelakkan perpecahan berlaku dalam parti.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama