Advertisement - Contact Us

Persidangan UMNO Bahagian Tasek Gelugor - Gugurnya Seorang Patriot...



Tanggal 12 Oktober 2008 yang lepas maka terjawablah segala teka teki yang sering menjadi tajuk perbualan di kalangan penduduk Tasek Gelugor, Pulau Pinang baik di kedai-kedai kopi mahupun di rumah-rumah kenduri berkenaan dengan isu pemilihan kepimpinanan UMNO bahagian Tasek Gelugor. Maka dengan ini juga jelaslah siapa yang telah berjaya dipilih sebagai pemimpin baik di peringkat Pemuda, Wanita mahupun Di peringkat Bahagian sendiri.

Bermula dengan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian dan Persidangan Puteri UMNO Bahagian yang telah diadakan pada 10 Oktober 2008 dan kemudiannya disusuli dengan Persidangan Wanita UMNO Bahagian pada 11 Oktober 2008. Kemuncak Persidangan adalah pada 12 Oktober 2008 iaitu Persidangan UMNO Bahagian Tasek Gelugor.



Sejak bermulanya Mesyuarat dan Pemilihan UMNO di peringkat Cawangan dalam Tasek Gelugor lagi, sudah timbul pelbagai desas desus yang mana bakal memperlihatkan tentangan akan berlaku bagi memilih calon Ketua UMNO Bahagian. Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian terdahulu yakni Dato' Seri Mohamad Shariff Bin Omar bakal ditentang oleh ADUN Permatang Berangan yang berjaya mengekalkan kerusi ADUNnya pada Pilihanraya yang lepas iaitu Ustaz Shahbudin Yahaya yang juga Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Berdasarkan pencalonan yang diterima setelah berakhir mesyuarat di peringkat cawangan juga telah memperlihatkan bahawa Ustaz Shahbudin berjaya mendahului Dato' Seri.

Populariti Dato' Seri Mohamad Shariff yang dilihat semakin merudum mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk kegagalan beliau mengekalkan kerusi Parlimen Tasek Gelugor setelah beliau memberi laluan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bertanding dan sekaligus memenangi kerusi tersebut. Selain itu, mungkin juga disebabkan peranan beliau di dalam kerajaan juga dilihat semakin pudar apabila tidak dilantik sebagai senator mahupun jawatan-jawatan penting yang lain. Tak terkecuali faktor beliau sendiri yang dilihat sudah terlalu lama menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor maka sudah tiba masanya untuk beliau berundur dan memberi peluang kepada muka baru.

Kemunculan Ustaz Shahbudin dalam arena politik dilihat sebagai tepat pada masanya tatkala generasi kini yang inginkan pembaharuan dan reformasi terutama dari segi kepimpinan. Beliau juga berjaya menambat hati penduduk Tasek Gelugor dengan keperibadiannya yang boleh dicontohi di samping peranan beliau sendiri selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Di samping itu beliau juga mendapat sokongan dari Tan Sri Nor Mohamad Yakcop untuk mencabar kepimpinan sedia ada.

Diperingkat Pemuda, memperlihatkan persaingan 2 penjuru bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Bahagian yang mana telah berjaya dimenangi oleh Encik Hasbul menewaskan Encik Asmidy. Encik Hasbul merupakan bekas Ketua Penerangan Pemuda Bahagian dan juga merupakan calon pilihan Dato' Seri Mohamad Shariff. Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula memperlihatkan persaingan 3 penjuru dan berjaya dimenangi Encik Rahman. Pemuda Tasek Gelugor juga mencalonkan YB Dato' Mukhriz Bin Tun Mahathir bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia sementara bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pula mencalonkan Marzuki Yahaya dari Bahagian Bagan.

Di peringkat Wanita pula memperlihatkan tidak ada persaingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita Bahagian. Dengan rasminya, Dato' Jahara Hamid yang juga ADUN Telok Air Tawar berjaya mengekalkan jawatan Ketua Wanita Bahagian bagi tempoh 3 tahun akan datang.

Seterusnya bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor pula, kejutan telah berlaku di mana Dato' Seri Mohamad Shariff Bin Omar gagal mengekalkan jawatan yang disandangnya setelah tewas kepada Ustaz Shabudin Yahaya. Manakala jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian Tasek Gelugor yang mana menyaksikan pertandingan 2 penjuru telah berjaya dimenangi oleh Dato' Jasmin yang juga ADUN Sungai Dua menewaskan pencabar beliau Mohd Nazir dengan majoriti yang tipis. Bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian pula dimenangi oleh bekas Ketua Pemuda iaitu Encik Zulkifli menewaskan 2 lagi pencabar beliau iaitu Encik Azmi Alang dan Encik Anuar Omar.

Maka dengan ini, UMNO Bahagian Tasek Gelugor telah memperlihatkan satu perubahan dari segi kepimpinan. Diharap kepimpinan baru yang dilantik ini bakal membawa perubahan yang positif dan kemajuan kepada seluruh penduduk Tasek Gelugor. Rapatkanlah kembali tali silaturrahim yang mungkin hampir tergugat setelah berakhirnya pertandingan memilih pemimpin. Adat pertandingan pasti ada yang menang dan ada yang tewas. Kepada yang berjaya diucapkan tahniah dan diharap dapat menunaikan janji yang telah ditabur dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat yang dilihat semakin pudar terhadap parti UMNO. Yang penting, kepimpinan yang baru perlu bekerja lebih keras dan perlu menunjukkan produktiviti dan kualiti yang lebih baik dari kepimpinan yang terdahulu. Bagi yang tewas, ini bukanlah penamat kepada kehidupan. Kembali muhasabah diri dan perbetulkan segala kelemahan yang telah timbul. Rapatkan kembali saf dan sama-sama menaikkan imej dan kualiti UMNO Bahagian Tasek Gelugor.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama