Advertisement - Contact Us

Tan...Tin...Tun... Apa Sudah Jadi Dengan UMNO?




Bumi Melayu hari ini digemparkan dengan tindakan Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah mengishtiharkan diri keluar dari parti UMNO.

Tun Dr. Mahathir bukan lagi asing kepada rakyat Malaysia bahkan dengan kelantangan beliau mengkritik dunia barat sudah pun menjadi umpama mimpi ngeri kepada seluruh sejagat. Beliau seorang pemimpin terbaik pernah dilahirkan di bumi Melayu ini bersesuaian dengan peniktirafan yang diberikan yakni sebagai Bapa Kemodenan. Beliau juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama mampu bertahan walau terpaksa menghadapi pelbagai cabaran samada dari luar atau secara dalaman. Mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik, tegas, perpandangan jauh, berwawasan, berkaliber dan berkarisma berjaya mentadbir negara sehingga menjadi sebuah negara membangun yang terbaik dan menjadi contoh kepada negara-negara lain samada dari segi pentadbiran, ekonomi dan sahsiah. Pemikiran dan kematangan yang ada pada beliau mampu melonjak beliau selangkah ke hadapan berbanding arus semasa sehingga beliau mampu mengesan dan menangkis sebarang tindakan yang mampu menganggu gugat kedudukan beliau dan negara.

Itulah kehebatan dan kehandalan Tun Dr. Mahathir sehingga pemikiran beliau diiktiraf dan diangkat sehingga tertubuhnya satu institut pemikiran Mahathir. Hakikatnya itu sudah pun menjadi sejarah. Hidup umpama roda. Adakala di atas, dan apabila tiba masanya kita pasti akan tersungkur di bawah. Namun, tindakan Tun Mahathir yang mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO merupakan satu keputusan yang paling silap dan langsung tidak boleh diterima yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir.

Apakah perkara yang bermain-main diminda Tun Mahathir? Walau selemah mana pun pentadbiran Pak Lah, Tun Mahathir tidak perlu mengambil tindakan untuk keluar dari parti. Mungkin disebabkan perkara peribadi yang memungkinkan Tun mengambil keputusan ini.

Yang pasti tindakan keluar parti hanyalah akan melemahkan lagi UMNO. Perpecahan yang sepatutnya perlu dielakkan seperti akan terus-terusan berlaku. Sebarang masalah yang dihadapi atau konflik dalaman antara Pak Lah dan Tun perlu diselesaikan secara dalaman tanpa perlu melibatkan sebarang perpecahan. Perkara seperti ini tidak perlu timbul di saat kedudukan UMNO dan orang Melayu berada dalam keadaan genting dan tercabar. Tun sendiri lebih berpengalaman dan mampu menilai sesuatu tindakan samada baik atau buruk.

Dengan keluar dari UMNO dan kemudiannya menyeru orang Melayu agar turut mengambil tindakan yang sama umpama satu ugutan kepada kepimpinan Pak Lah. Tun harus sedar, walau apapun Pak Lah mempunyai kuasa penuh dan beliau mampu melakukan tindakan yang sewajarnya samada hendak menurut kehendak Tun yakni meletakkan jawatan atau terus menerajui kepimpinan negara di samping mengmbil tindakan ke atas Tun seperti mana yang pernah Tun lakukan terhadap Musa Hitam, Ku Li, Ghafar Baba dan yang paling kejam terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Seharusnya dalam usia di penghujung, Tun perlu memberi ruang dan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan yang baru untuk menerajui negara. Cukuplah setelah sekian lama Tun diberi peluang mentadbir Malaysia. Yang pasti lain padang, lain belalang. Tun tidak boleh mendesak Pak Lah agar mengikut cara kepimpinan Tun. Yang pasti, Pak Lah sendiri sekarang sedang dihukum oleh rakyat jelata atas kelemahan corak pentadbiran beliau. Jadi bukan lagi menjadi tanggungjawab Tun untuk mengugut atau menghukum pentadbiran Pak Lah. Dan jangan disebabkan perkara-perkara peribadi yang tidak dapat diselesaikan angkara sifat ego dan besar diri yang wujud dalam diri kedua-dua pemimpin ini, maka, perpaduan, hak dan ketuanan yang sepatutnya menjadi milik sepenuhnya orang Melayu akan terlepas dan lenyap sama sekali.

Disebabkan persengketaan yang berlaku antara kedua-dua pemimpin ini, ramai musuh yang sentiasa bersorak bertepuk tangan melihat perpaduan yang sepatutnya menjadi tunjang orang Melayu akan terhakis dan akhirnya tumbang menyembah bumi.

Bersama-samalah kembali ke pangkal jalan demi masa depan UMNO dan orang Melayu. Buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Janganlah sampai dibiarkan nasi menjadi bubur. Ankara kesilapan kita hari ini, tak mustahil anak cucu kita akan hidup umpama melukut di tepi gantang suatu hari nanti.

FIKIR-FIKIRKANLAH...

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama